Susu Ibu: Memberi Bayi Anda Yang Terbaik

Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Susu ibu adalah makanan yang sempurna. Ia membekalkan tenaga dan nutrien dalam kadar yang tepat untuk bayi anda membesar. Jika si bayi menerima susu ibu yang mencukupi, dia tidak memerlukan makanan tambahan (ataupun air) sehingga berumur 6 bulan, apabila dia sudah bersedia mengambil makanan pejal. Walaupun selepas itu, teruskanlah memberinya susu ibu sehingga berumur 2 tahun. Susu ibu adalah makanan asas yang terbaik untuk bayi anda.

Kebaikan Penyusuan Ibu


Untuk Bayi
  • Susu ibu membekalkan bayi dengan tenaga, lemak, karbohidrat, protein, vitamin & mineral yang diperlukan sehingga dia diberikan makanan pejal.
  • Kolostrum, susu kekuningan yang dihasilkan pada permulaan penyusuan, adalah kaya dengan antibodi yang boleh melindungi bayi anda daripada dijangkiti penyakit.
  • Susu ibu juga mengandungi sel limfosit dan makrofaj yang mencegah pertumbuhan bakteria, serta bifidus untuk mengekalkan persekitaran sihat dalam usus bayi.
  • Asid lemak dalam susu ibu adalah penting untuk pertumbuhan mental dan sistem saraf bayi.
Untuk Anda
  • Anda boleh menggunakan sebanyak 500 kalori dalam sehari. Ini membantu anda mengurangkan berat badan berlebihan selepas bersalin.
  • Penyusuan ibu juga dapat membantu mengecutkan rahim anda supaya kembali pada saiz yang biasa.
Untuk anda dan bayi anda
  • Penyusuan membolehkan bayi anda merasakan keselesaan tubuh badan anda. Bagi anda, ini adalah masa yang tepat untuk menikmati kemesraan antara anda dengan bayi anda. Semasa menyusu bayi, usapnya dan bercakap kepadanya dengan nada yang perlahan dan lembut. Ini akan merupakan pengalaman yang istimewa yang boleh menjalinkan hubungan antara ibu dan bayi selamanya.
Tip-Tip Penyusuan Yang Berkesan
  1. Makan makanan yang pelbagai dan seimbang untuk membolehkan badan anda terus menghasilkan susu ibu.
  2. Berhenti membuat kerja dan cuba duduk dengan selesa selama beberapa minit bagi menenangkan diri anda sebelum menyusu. Anda akan dapat menyusu dengan lebih baik jika anda lebih bertenang.
  3. Berikan masa yang secukupnya untuk bayi menghisap susu.
  4. Dapatkan bantuan daripada suami, saudara-mara atau pembantu rumah untuk menguruskan kerja-kerja rumah supaya tidak diganggu semasa menyusu.
  5. Janganlah menolak buah dada ke dalam mulut si bayi, biarkan dia sendiri yang berbuat demikian.
  6. Pastikan mulut bayi menutup kawasan ‘areola’ (kawasan coklat sekitar puting) supaya dia tidak hanya menghisap puting.
  7. Apabila menyusu, selang-selikan payudara yang dihisap oleh bayi. Contohnya, semasa penyusuan pertama bayi mula menghisap susu dari payudara kanan sehingga kosong dan kemudian menghisap susu dari payudara kiri. Pada penyusuan yang berikutnya, anda sepatutnya bermula dengan payudara kiri dahulu dan kemudiannya mengulang proses yang sama.
  8. Susukan bayi mengikut keperluannya, lebih kerap anda menyusukannya, lebih banyak susu yang dihasilkan.
  9. Susukan bayi juga apabila anda menghidapi selsema kerana bayi tidak mungkin akan terdedah kepada jangkitan penyakit.
  10. Belajar memerah susu (dengan tangan atau peralatan) beberapa minggu sebelum mula bekerja dan mula memberi susu anda kepada bayi dengan menggunakan botol atau sudu.
  11. Apabila anda sudah mula bekerja, aturkan tempat dan masa peribadi untuk mengeluarkan susu beberapa kali sehari. Simpan susu anda di dalam botol dan kemudian di dalam beg. Minta kebenaran menggunakan peti sejuk di tempat kerja. Janganlah bimbang jika tiada peti sejuk di tempat kerja anda kerana susu ibu boleh disimpan sehingga 8 jam pada suhu bilik apabila ditutup dengan ketat di dalam botol.
  12. Jika anda mengalami masalah menghasilkan susu ibu atau menghadapi masalah semasa menyusu, janganlah rasa bersalah atau berputus asa. Anda cuma memerlukan sokongan dan nasihat. Berjumpalah dengan doktor atau jururawat laktasi.
Adakah Anak Yang Minum Susu Ibu Lebih Bijak?
Kajian jangka panjang di Cambridge telah menunjukkan bahawa 300 bayi pra-matang yang telah diberi susu ibu mempunyai IQ yang lebih tinggi pada umur 71/2 – 8 tahun berbanding dengan bayi cukup bulan yang tidak diberi susu ibu semasa bayi. Jika terdapat makanan untuk minda, maka susu ibu merupakan makanan tersebut.

Comments

Post a Comment

Yang Mengomen

Popular posts from this blog

Garam Bukit Himalaya..Percaya atau Tidak??

BEN ASHAARI AJAK BACA BLOG AKU

SEGMEN : BEN ASHAARI TANYA KENAPA BLOG SAYA LAIN DARI YANG LAIN